Ahad, 29 April 2012

Pantun Teka Teki


Kalau Tuan pergi ke kedai,
  Belikan saya buah keranji;
Kalau tuan bijak pandai,
  Apa binatang keris di kaki?

Ada sebiji roda pedati,
   Bentuknya bulat daripada besi;
Bila bermain diikat sekuat hati,
   Dilempar hidup dipegang mati?

Buah budi bedara mengkal,
   Masak sebiji di tepi pantai;
Hilang budi bicara akal,
  Buah apa tidak bertangkai?

Burung nuri burung dara,
   Terbang ke sisi taman kayangan;
Cubalah teka wahai saudara,
    Semakin diisi makin ringan?

Bunga orkid indah warnanya,
    Penyeri taman dan juga hutan;
Ramai orang datang bertanya,
    Bintang apa hidup di lautan?

Pak Pung Pak Mustafa,
    Encik Dollah dirumahnya;
Ada tepung ada kelapa,
    Gula Melaka jadi intinya?


Khamis, 29 Mac 2012

Sajak

Nilai Sekuntum Senyuman

Dalam mengisi masa dengan segala tuntutan hidup
tiba-tiba..tercetus di minda fikir
meniti sebuah kehidupan
penuh realiti bukan suatu kepayahan
di sebalik nilai sekuntum senyuman.

Senyum....
pengubat segala duka
mengetuk jiwa nan bergelora
oleh emosi yang mengusik seribu rasa persoalan
menggapai sebuah gemilang kehidupan.

Senyum...
tatkala titian harapan
menuju indahnya sebuah kehidupan
terserlah di wajah
terpahat di jiwa penuh kesyukuran
putaran roda-roda kehidupan
pasti melalui realiti bahawa senyum...tak perlu kata apa-apa
Kerana nilainya ada di mana-mana.

Hasil nukilan : Siti Halimah




Sila jawab soalan-soalan yang berikut:

1.  Apakah pandangan penyajak terhadap nilai sekuntum senyuman?




2.  Bagaimanakah perasaan penyajak semasa sajak ini dinukilkan?

Sabtu, 17 Mac 2012

PANTUN NASIHAT

Pak Mat suka baju kemeja,     
     Mak Uda pilih baju bercorak;
Hormat pada ibu dan bapa,
    Tanda kasih dirimu anak.


Jeruk kelubi di dalam balang,
     Mari dimakan bersama teman;
Elok berbudi dipandang orang,
    Jadi teladan rakan dan taulan.



Sambut tetamu orang Melaka,
      Masak gulai untuk hidangan;
Tuntut ilmu usahlah leka,
    Kelak mencapai satu kejayaan.



Indah mekar bunga di taman,
    Terbang hinggap si rama-rama;
Sudah mencapai satu kejayaan,
    Taburlah bakti pada negara.



Kalau ada sesikat pisang,
    Marilah kita berkongsi makan;
Kalau ada nasihat perangsang,
    Marilah kita jadikan panduan.



Inilah satu aktiviti bahasa,
    Pantun nasihat ciptaan sendiri;
Sudilah puan menilaikannya,
    Santun dan hormat saya di sini.

Jumaat, 9 Mac 2012

Pesan ~ Usman Awang

Jika kau berikan dengan kedua tanganmu
yang mengalir dari hati dan kandungan
dari ujud rasa yang maha agung
akan ku tatang ia di dulang hatiku.

Telah kita tunggu sejak pertama kali hati menguntum
tiada terusik oleh segala selisih rasa
sebab ia tinggi mengepak di puncak menara
dengan kedamaiannya dalam jalinan setangkai senyum.

Bila ia menjelma dengan suaranya memanggil nama bapa
bisikkan padanya segala kisah yang tercipta
antara ibu dan ayah yang mewujudkan nama setia.

Nukilan- USMAN AWANG